FahdiGhazali.com

5 Perkara Penting Yang Perlu Ditanam Diminda Sebelum Bergelar Usahawan

bakal usahawan

1

Sebelum anda mengambil keputusan untuk bergelar usahawan, tidak kiralah usahawan dalam apa-apa bidang sekalipun amat penting untuk anda mempersiapkan diri anda dengan ilmu-ilmu serta pengetahuan perniagaan yang secukupnya sebagai perisai untuk anda menempuh dunia perniagaan yang penuh cabaran ini.

Selain mempersiapkan diri anda dengan ilmu-ilmu perniagaan, anda juga harus persiapkan minda anda dengan beberapa perkara ;

1) Bersedia Hadapi Cabaran Baru

Apabila anda memasuki dunia perniagaan, sudah semestinya anda bakal berhadapan dengan pelbagai cabaran. Antara cabaran biasa yang perlu dihadapi seperti persaingan dari perniaga-perniaga lain, proses untuk mencipta nama anda, dan banyak lagi. Untuk menjadi usahawan yang berjaya anda harus berani untuk menempuhi setiap cabaran baru yang bakal muncul dengan penuh yakin tanpa perlu rasa panik.

Anda juga harus ingat setiap kali anda berdepan dengan cabaran baru, anda harus gunakan kemahairan dan pengetahuan yang anda ada untuk mengatasi masalah tersebut. Jangan sesekali merasakan anda tidak mampu menghadapi cabaran tersebut. Apa yang penting, anda jangan mudah mengalah dan anggap ia satu cabaran untuk anda mempelajari sesuatu yang baru.

2) Kejayaan Datang Dari Kerja Keras Anda Bukan Nasib

 

us-4

Saya pasti ramai orang yang menganggap faktor utama yang menyebabkan usahawan berjaya diluar sana adalah disebabkan mereka mempunyai nasib atau luck yang baik. Perkara tersebut betul, tapi anda tidak boleh meletakkan sepenuhnya faktor kejayaan mereka disebabkan mereka mempunyai nasib yang baik sahaja.

Kejayaan usahawan ini sebenarnya berpunca dari hasil kerja keras mereka sendiri berserta dengan nasib atau rezeki mereka dalam perniagaan tersebut. Anda harus ingat satu perkara, jika anda berkerja keras tidak mustahil segala penat lelah anda selama ini akan digantikan dengan sesuatu yang menguntungkan dan bermanafaat. Tidak ada jalan pintas untuk berjaya, yang penting anda berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu perkara.

Anda harus setkan dalam minda anda bahawa, jika anda berusaha dengan bersungguh-sungguh biarpun anda bermula secara kecil-kecilan dan perlahan-lahan tidak mustahil usaha anda tersebut akan membuahkan hasil yang mengagumkan.

3) Percaya Bahawa Anda Adalah Unik

us-2

Perkara yang penting yang perlu anda lakukan sebelum anda ingin bergelar usahawan adalah anda harus fikir bagaimana hendak menjadi unik dan lain dari yang lain. Jangan sesekali anda cuba meniru identiti orang lain, jadilah diri anda sendiri. Dalam dunia perniagaan ini, kebanyakan usahawan yang ingin memulakan perniagaan, mengambil jalan pintas dengan meniru identiti usahawan-usahawan yang telah berjaya. Tetapi realitinya perkara tersebut sebenarnya salah.

Dalam dunia perniagaan ini, anda tidak boleh menjadi The next Dato’ Aliff Syukri mahupun The next Dato’ Seri Vida kerana kedua-dua mereka telah mencipta identiti mereka yang tersendiri dikalangan pengguna-pengguna mereka. Jadi amat mustahil untuk anda bersaing dengan mereka jika anda membawa identiti yang sama. Untuk jadi unik dan lain dari yang lain anda harus mencipta identiti anda sendiri. Ada banyak cara untuk jadi unik dan lain dari yang lain, yang penting anda harus kreatif dan bijak mengambil peluang yang ada.

4) Elakkan Dari Berfikir Perkara Negatif

 

us1

Untuk berjaya dan maju kehadapan, amat penting bagi anda untuk menghapuskan perkara-perkara negatif yang selalu bermain difikiran anda. Ada sesetengah orang, mereka sudah pun mempunyai idea dan matlamat perniagaan yang mereka inginkan, tetapi, disebabkan dipengaruhi dengan perkara-perkara negatif ini, ia secara tidak langsung menghalang niat mereka dari memulakan perniagaan tersebut. Contoh perkara-perkara negatif yang sering difikirkan oleh bakal usahawan sebelum memulakan perniagaan mereka adalah seperti;

  • Takut untuk memulakan perniagaan
  • Takut sekiranya pernigaan mengalami kerugian
  • Takut untuk menghadapi persaingan dipasaran

Perkara-perkara negatif sebegini sering kali bermain difikiran bakal usahawan. Oleh itu amat penting bagi anda untuk menghapuskan pemikiran negatif dalam minda anda dan cuba tanamkan dengan perkara positif. Anda harus cabar diri anda untuk mengatasi perasaan takut tersebut dan anda harus setkan minda bahawa anda akan berjaya jika anda berani mencuba. Apabila anda yakin dan positif dengan tindakan tersebut, tindakan anda itu pasti akan mendatangkan kejayaan kepada anda.

Just go for it!

 

5) Bermotivasi Tinggi

Dalam setiap proses untuk mencapai  apa-apa kejayaan sekali pun, motivasi dalam diri amat penting kerana motivasi diri inilah yang akan mendorong kita untuk memperolehi kejayaan tersebut. Jika anda ingin menjadi usahawan, anda harus persiapkan diri anda dengan motivasi diri yang tinggi kerana ia merupakan resepi kejayaan bagi setiap usahawan yang berjaya. Motivasi diri yang kuat ini dapat membantu anda untuk bangkit apabila anda mengalami kegagalan. Dengan motivasi yang tinggi, ia akan membuatkan anda lebih cekal untuk menghadapi setiap cabaran dan dugaan dalam dunia perniagaan ini. Kita boleh lihat ramai usahawan-usahawan baru pada hari ini hanya bertahan dalam tempoh yang singkat dipasaran. Mereka tewas dengan mudah disebabkan kegagalan mental mereka dalam menghadapi cabaran dunia perniagaan. Jadi persiapkan mental anda supaya bermotivasi tinggi untuk menempuhi cabaran tersebut.

Kesimpulan

 

Anda harus ingat, untuk memulakan sesuatu perniagaan anda perlu yakin dan berani dalam menempuhi cabaran dunia perniagaan yang sememangnya mencabar. Apa yang penting anda harus perkuatkan usaha anda dalam menempuh cabaran tersebut untuk memperolehi kejayaan yang sudah semestinya menguntungkan anda. Untuk berjaya dalam dunia perniagaan, anda harus jadi lain dari yang lain. Persiapkan diri anda dengan pemikiran positif serta motivasi diri yang secukupnya untuk memperkuatkan mentaliti anda.

• Meet the Author ➞ Fahdi Ghazali



0 comments… add one

Don’t Be Shy » Leave a Comment!